13 JAN: Kementerian Wilayah Persekutuan benarkan penjaja kecil terus membuka operasi dan aktiviti perniagaan mereka di beberapa lokasi di ibu negara dalam tempoh pelaksanaan darurat.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan mereka hanya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah COVID-19 termasuk ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dalam tempoh darurat, penjaja di Wilayah Persekutuan boleh terus menjalankan perniagaan dan lesen terus diberi percuma.
“Cuma saya minta patuhi SOP dan arahan PBT (pihak berkuasa tempatan), KKM (Kementerian Kesihatan) dan pihak berkuasa. Kita bantu membantu dan bersama perangi COVID-19,” katanya menerusi ciapan Twitter hari ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin semalam menjelaskan, darurat yang dilaksana bukan perintah berkurung dan pengambilalihan kuasa oleh tentera sebaliknya dilaksana bagi membolehkan usaha mengawal penularan wabak lebih berkesan.
Ketika PKP yang bermula hari ini di enam negeri termasuk Wilayah Persekutuan, aktiviti penjaja kecil masih dibenarkan beroperasi seperti biasa, namun tempoh masa dihadkan iaitu bermula 6 pagi hingga 8 malam.
Operasi perniagaan penjaja juga hanya terhad untuk pembelian pandu lalu, bawa pulang serta penghantaran sahaja. – Oleh HAIKA KHAZI