13 JAN : Telekom Malaysia Bhd dalam satu kenyataan hari ini berkata, aktiviti pemasangan baharu dan baik pulih perkhidmatan di premis pelanggan Telekom Malaysia Bhd (TM) akan diteruskan seperti biasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) selama dua minggu yang bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Imri Mokhtar berkata, TM memberi jaminan pekerjanya akan mengambil langkah berjaga-jaga sebelum melaksanakan sebarang kerja di premis pelanggan, termasuklah melakukan pemeriksaan suhu badan sewaktu memulakan syif mereka dan mengisytiharkan status kesihatan mereka sebelum memasuki premis.
“Bagaimanapun di kawasan zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Perintah Pemerhatian Dan Pengawasan Di Rumah (HSO) hanya keperluan kritikal yang akan dilayan.
“Sebagai tambahan, para pelanggan akan diminta untuk melengkapkan borang Pengisytiharan Pelanggan Selepas Selesai Tugasan untuk mengesahkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh pasukan pemasangan atau pasukan teknikal TM yang melayani permintaan perkhidmatan mereka,” kata kenyataan itu.
Pada masa yang sama, waktu operasi pusat khidmat pelanggannya termasuklah premis TMpoint di seluruh negara dan Pusat Perhubungan Pelanggan TM kekal dibuka seperti biasa sambil mematuhi SOP, serta panduan keselamatan tambahan TM.
Para pelanggan yang memerlukan sebarang bantuan sokongan berkaitan perkhidmatan, TM menggalakkan mereka untuk memanfaatkan pelbagai saluran dalam talian untuk menghubungi ajen-ajen TM.