13 JAN: Semua syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan pengedaran dibenarkan beroperasi dengan syarat mereka perlu mendapatkan surat notifikasi pengesahan pendaftaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi, berkata syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran boleh memohon surat notifikasi pengesahan pendaftaran dengan mengakses portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menerusi pautan https://notification.miti.gov.
Beliau berkata syarikat belum berdaftar dengan CIMS juga boleh berbuat demikian menerusi pautan https://notification.miti.gov dan surat notifikasi pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat selepas pendaftaran.
“Bagaimanapun, KPDNHEP mengingatkan bahawa syarikat berkenaan dibenarkan beroperasi dengan menggunakan 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat dan kakitangan sokongan/ operasi akan ditentukan oleh majikan masing-masing.
“Syarikat berkenaan juga perlu memastian pekerja mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.
Alexander berkata pemain industri dan orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungan Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03-88825881 atau melalui email kepada spip@kpdnhep.gov.my.