13 JAN: Volvo Car Malaysia mencatatkan rekod jualan tertinggi sebanyak 1,950 buah kenderaan tahun lalu walaupun dalam keadaan tidak menentu disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Pengarah Urusannya, Nalin Jain berkata, walaupun syarikatnya mencatatkan kemerosotan jualan sebanyak 56.1 peratus pada setengah tahun pertama 2020, jualan melonjak dengan pantas pada setengah tahun kedua.
Menurut beliau, jualan tahun lalu menunjukkan peningkatan sebanyak 3.6 peratus berbanding 1,883 buah kenderaan pada 2020 sekali gus mencatatkan rekod baharu bagi jualan tertinggi sejak Volvo Car Malaysia ditubuhkan.
“Kami sangat berbangga dengan apa yang dicapai Volvo Car Malaysia walaupun dalam keadaan yang tidak menentu dan mencabar yang dihadapi.
“Menerusi usaha bersama pengedar dan kakitangan kami, selain pelepasan cukai jualan yang dilaksanakan kerajaan pada masa yang tepat, kami dapat mengharungi tahun yang mencabar itu dengan jayanya.
“Bagi kami, melihat hasil usaha kami telah menyuntik semula semangat kami untuk menawarkan kereta-kereta yang premium, selamat dan mampan kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Semasa pelaksanaan pelepasan cukai jualan, Volvo Car Malaysia menyaksikan jualannya kembali pulih dan mencatatkan jualan kedua tertinggi pada Julai 2020.
Perkembangan itu menunjukkan permintaan terhadap kereta mewah tetap tinggi sebaik sahaja pasaran kereta tempat mula mengalami normalisasi dan Malaysia menuju ke arah pemulihan.
Peningkatan permintaan tersebut didorong oleh pelepasan cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) selain inisiatif Volvo Car Malaysia memperkukuhkan semula saluran-saluran khidmat pelanggannya dan mempraktikkan amalan digital baharu.
Bagi tahun ini, Volvo Car Malaysia akan meneruskan momentum 2020 dan memperbaharui objektif dan menjana semula semua aspek perniagaannya untuk terus menawarkan pengalaman premium dan kebebasan bergerak dalam cara yang peribadi, mampan dan selamat kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
“2021 akan menjadi tahun yang penting bagi Volvo Car Malaysia kerana kita berhasrat untuk menukar semua aspek perniagaan kami untuk menerapkan penyelesaian yang lebih mampan dan juga menawarkan lebih banyak produk bagi memenuhi keperluan berbeza rakyat Malaysia dan pada masa yang sama, membantu mereka membuat pilihan yang lebih mampan.
“Kami akan terus melaksanakan transformasi digital untuk membina sistem digital yang kukuh bagi menyokong pengalaman pelanggan kami secara berterusan – mulai dari proses membeli sehingga memiliki sebuah kereta Volco dan khidmat selepas jualan yang mereka perlukan, pada masa yang sama memenuhi janji kami untuk memberi perkhidmatan yang profesional dan mentaliti prihatin dalam setiap perkara yang kami lakukan,” jelas Nalin. – Oleh HUSSAINI AMRAN