14 JAN: Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan I, menafikan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti didakwa portal berita.
Menerusi kenyataan pada Rabu, Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan I memaklumkan, dua portal telah memuat naik artikel yang mendakwa Dr Noor Azmi menerima kunjungan hormat daripada sekumpulan individu di pejabat beliau.
“Tulisan dan dakwaan yang dibuat kedua-dua portal tersebut adalah tidak benar sama sekali. Gambar kunjungan itu adalah pada 12 Jan, iaitu sehari sebelum pelaksanaan PKP.
“Oleh itu, Pejabat Timbalan Menteri Kesihatan I memohon agar portal terbabit menarik balik tuduhan, dakwaan dan maklumat tidak benar yang disiarkan dengan segera,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut, dakwaan seumpama itu memberikan persepsi buruk terhadap Dr Noor Azmi dan Kementerian Kesihatan. – Oleh HAIKA KHAZI