14 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan sebanyak tujuh lagi kluster baharu yang melibatkan daerah di negeri Selangor, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak menjadikan jumlah keseluruhan sepanjang pandemik sebanyak 623 kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan tersebut sebanyak 347 kluster telah ditamatkan termasuk satu kluster hari ini iaitu Kluster Huma di negeri Kelantan.
Katanya lagi, sebanyak 276 kluster masih aktif dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 78 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Beringin sebanyak 177 kes serta Kluster Sungai Putus dan Kluster Pasai yang masing-masing melaporkan sebanyak 157 kes,” ujarnya.
Sementara itu, Noor Hisham berkata, KKM hari ini mengesan tujuh lagi kluster iaitu kluster tempat kerja, Kluster Jalan Selayang yang melibatkan daerah Gombak hasil saringan di sebuah pasaraya di Jalan Selayang Baru semalam, di mana seramai 511 individu telah disaring dan 84 dari mereka didapati positif Covid-19.
“Kluster Tropika pula melibatkan daerah Johor Bahru hasil saringan tahanan dan kontak rapat tahanan. Kluster tempat kerja, Kluster Pasir Barat pula melibatkan daerah Johor Bahru dan Kota Tinggi,” ujarnya menerusi kenyataan media harian Covid-19 hari ini.
Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, kluster tempat kerja, Kluster Tapak Bina Dutamas di kesan melibatkan daerah Kepong manakala Kluster Jalan Pahang pula melibatkan daerah Kepong, Titiwangsa, Lembah Pantai dan Cheras di mana kes lokaliti kluster itu dikesan di Hospital Kuala Lumpur.
“Kluster tempat kerja, Kluster Rantau Silau melibatkan daerah Port Dickson di Negeri Sembilan hasil saringan bersasar di sebuah Kilang dan Kluster Intan Mas melibatkan daerah Hilir Perak di negeri Perak, hasil saringan individu bergejala,” jelasnya