14 JAN : Menteri Perpaduan Negara,Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kementeriannya menangguhkan semua operasi Jentera Perpaduan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa semalam sehingga 26 Januari ini.
Kata Halimah, antara aktiviti itu terbabit dalam penangguhan itu ialah operasi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarela (SRS), TABIKA Perpaduan dan TASKA Genius Perpaduan di negeri terbabit PKP.
“Setakat ini hanya KRT dan SRS di negeri-negeri yang dikenakan PKP Pemulihan (PKPP) sahaja dibenarkan menjalankan aktiviti komuniti dan membantu operasi penyelamatan banjir, mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“KRT dan SRS di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Bersyarat (PKPB), mereka diarahkan menangguh sementara aktiviti kemasyarakatan, termasuk operasi bantuan menyelamat banjir,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Kata Halimah lagi, operasi Tabika Perpaduan dan Taska Genius Perpaduan di negeri-negeri yang dikenakan PKP, selari dengan institusi pendidikan prasekolah Kementerian Pendidikan.
“Operasi Tabika dan Taska Kemas, Kementerian Pembangunan Luar Bandar tertakluk kepada arahan dan pematuhan SOP yang lebih ketat.
“Tabika Perpaduan akan mula beroperasi pada 20 Januari, manakala Taska Genius Perpaduan yang bermula pada 3 dan 4 Januari lalu, akan terus beroperasi seperti biasa,” jelasnya.
Kenyataan itu susulan Perutusan Khas Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP untuk tempoh 14 hari, bermula semalam.