14 JAN : Seorang pensyarah kerugian RM13,000 selepas dikatakan terpedaya dengan sindiket Macam Scam dengan mendedahkan maklumat peribadinnya melalui aplikasi telefon pintar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, mangsa yang merupakan pensyarah di sebuah institut pengajian awam (IPTA) mendakwa mendapat panggilan telefon dari seorang individu yang mengaku petugas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Individu terbabit mendakwa beliau terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan diarahkan untuk memuat turun aplikasi MyBNM bagi tujuan siasatan sebelum panggilan tersebut disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, jelas ACP Muhammad Yazid menerusi satu kenyataan media.
Mangsa yang berusia sekitar 30 tahun itu kemudiannya memuat turun aplikasi tersebut dan memasukkan butiran peribadinya ke dalam aplikasi tersebut.
Setelah memuat turun aplikasi itu dan memasukkan data peribadi serta butiran akaun, mangsa kemudianya memeriksa baki akaun dan mendapati wang di dalam akaunnya telah tiada.
Beliau berkata mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Buloh semalam.