14 JAN : Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilah RM4.3 juta dalam dua serbuan berasingan di Kepong dan Seri Kembangan pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun pada jam 4.30 petang di Jalan Metro Perdana, Barat 7, Kepong, Jumaat.
“Berikutan penahanan itu, polis merampas 1.03 kilogram (kg) methamphetamine, 230 gram pil erimin 5, 192 gram pil ekstasi, sebuah kereta sedan jenis Toyota dan wang tunai RM400.
“Soal siasat polis terhadap suspek lelaki tersebut berjaya menahan dua lagi suspek lelaki berusia 20 tahun pada hari Sabtu pada jam 7.45 malam di Jalan Indah Seri Kembangan dan merampas wang tunai RM106,166.
“Pada hari yang sama, hasil soal siasat dari dua tangkapan itu, polis dibawa ke sebuah kediaman di Seri Kembangan dan menemukan pelbagai jenis dadah haram yang disimpan di dalam premis itu.
“Ketiga-tiga suspek secara aktif mengedar dadah di kawasan Lembah Klang sejak dua bulan lalu dan dengan penangkapan ini, polis berjaya menumpaskan sindiket dadah ini yang didalangi warga tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Dalam dua serbuan tersebut, Saiful Azly berkata, polis menemukan 680 gram methamphetamine, 48,250 pil erimin 5, 3,710 gram pil ekstasi, 12,210 gram serbuk MDMA, 12,500ml cecair MDMA, 80 gram ganja, 8,920 gram ketamin, kenderaan pelbagai guna Toyota (MPV) dan wang tunai RM53,800.
Kata Saiful lagi, jumlah dadah yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 195,480 pengguna.
Hasil ujian air kencing menunjukkan ketiga-tiga suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah. Semua suspek direman selama tujuh hari dari 9 hingga 15 Jan di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang menjatuhkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.