15 JAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof, disahkan negatif COVID-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan pagi ini.
Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, Mohd Redzuan telah menjalani dua kali saringan dan menjalani Pelaksanaan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menjalankan ujian saringan pengesanan COVID-19 bagi sampel kedua ke atas Mohd Redzuan, pada 14 Januari 2021 dan telah disahkan negatif hari ini.
“Sehubungan itu, Pejabat Menteri di JPM Tugas-Tugas Khas ingin memaklumkan bahawa kedua-dua ujian pengesanan COVID-19 bagi YB Menteri sepanjang tempoh kuarantin kendiri telah disahkan NEGATIF dan tempoh HSO beliau tamat pada 15 Januari 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, sebentar tadi.
Pada masa yang sama, orang ramai turut diseru supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan serta mengamalkan 3W dan mengelakkan 3S/3C seperti yang disarankan oleh KKM.
Sebelum ini, Mohd Redzuan menjalani ujian saringan COVID-19 selepas mendapat makluman bahawa beliau merupakan kontak rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang disahkan positif penyakit terbabit.