15 JAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin masih Perdana Menteri yang sah dan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
Pakar perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, perlembagaan menyediakan peraturan berkaitan pelantikan dan penamatan jawatan Perdana Menteri.
Menurut beliau, pelantikan Perdana Menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong melalui Perkara 43(2), manakala penamatan jawatan Perdana Menteri adalah apabila berlaku pilihan raya umum selepas pembubaran Parlimen di bawah Perkara 55 atau 43(4), atau apabila beliau meletakkan jawatan sama ada kerana hilang sokongan majoriti di bawah Perkara 43(4) atau kerana sebab-sebab lain.
“Dalam realiti yang berlaku kini tidak ada satu situasi pun yang menunjukkan bahawa Perdana Menteri sedia ada, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin telah menamatkan jawatannya menurut Perlembagaan.
“Fakta bahawa beliau kehilangan sokongan majoriti belum menyebabkan secara automatik jawatannya terlucut.
“Perlembagaan menyebut dua pilihan bagi seorang Perdana Menteri hilang sokongan kepercayaan iaitu sama ada meletakkan jawatan atau memohon pembubaran dewan. Apabila kedua-duanya tidak dilakukan, ia tidak bermakna bahawa kerajaan sekarang sudah hilang keabsahan,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya malam tadi.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, perkara berkenaan boleh disandarkan kepada beberapa faktor termasuk pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 melalui nasihat Perdana Menteri dan Kabinet menunjukkan secara tersirat bahawa baginda masih mahu Muhyiddin meneruskan tugasnya.
Beliau memberitahu, faktor kedua adalah realiti bahawa tiada mana-mana ahli Dewan Rakyat lain yang mempunyai kepercayaan majoriti sekurang-kurangnya 111 bilangan ahli dan calon terdekat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya memiliki 91 sokongan.
“Kesukaran untuk mengumpulkan sokongan bagi mencukupkan kepercayaan majoriti kerana perbezaan pendapat. Peletakan jawatan Perdana Menteri sekarang akan mengheret negara kepada kecelaruan politik yang berpanjangan.
“Realiti bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) belum sesuai diadakan kerana wabak COVID-19 dan berdasarkan fakta di atas, maka sebarang bentuk pertikaian ke atas keabsahan kerajaan sedia ada adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Muhammad Fathi berkata, Perdana Menteri dan anggota Kabinet sekarang adalah pasukan yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong. Sokongan dan kepercayaan majoriti pernah dibuktikan melalui beberapa undian di Parlimen.
“Oleh yang demikian, kerajaan sedia ada adalah kerajaan yang sah menurut Perlembagaan sejak dari awal.
“Bila wujud beberapa anggota Parlimen menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri sehingga jumlah sokongan kurang dari satu perdua, maka dalam keadaan biasa seseorang Perdana Menteri itu akan meletakkan jawatan atau memohon membubarkan Parlimen.
“Tetapi, jika Perdana Menteri sekarang melakukan tindakan sedemikian, dalam realiti wabak dan politik semasa, maka ia boleh menjurus kepada mudarat yang lebih besar iaitu risiko lonjakan wabak COVID-19 dan risiko kecelaruan politik.
“Saya percaya langkah yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri sekarang adalah berteraskan prinsip maslahah dan ia satu usaha untuk mengelak mudarat yang lebih besar.
“Langkah ini juga dilaksanakan melalui amalan syura iaitu selepas berunding dengan Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Menurut beliau, jika Yang di-Pertuan Agong ingin menolak permohonan Perdana Menteri, maka Baginda boleh melakukan demikian, sebagaimana yang dilakukan pada 25 Oktober 2020 yang lalu dalam permohonan darurat pertama oleh Tan Sri Muhyiddin selaku Perdana Menteri.
“Oleh itu, tidak perlulah mempertikaikan keputusan yang dibuat ini, dan berikan fokus kepada usaha untuk mengeluarkan negara dari belenggu COVID-19, kesempitan hidup rakyat dan cabaran ekonomi.
“Perlu dinyatakan juga bahawa pihak pembangkang tetap diberikan peranan untuk menentukan tempoh pelaksanaan darurat melalui keanggotaan dalam Jawatankuasa Khas Bebas.
“Apa yang penting jawatankuasa ini bersifat bebas tanpa dikuasai oleh badan eksekutif, dan diberi peranan untuk membuat syor terus kepada Yang di-Pertuan Agong tanpa melalui Perdana Menteri.
“Jawatankuasa ini membuat keputusan berteraskan faktor kesihatan awam, prinsip demokrasi dan kemampuan jentera penguatkuasaan, bukannya faktor kepentingan politik kepartian,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI