16 JAN : Jalan ke pusat peranginan Bukit Fraser melalui Raub ditutup sejak dua hari lepas kepada semua kenderaan atas faktor keselamatan kerana terdapat beberapa lokasi berpotensi mengalami tanah runtuh jika cuaca buruk.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed berkata, penutupan itu dilakukan setelah mengadakan beberapa perbincangan bersama pihak berwajib termasuk jurutera daerah di kawasan itu.
Sehubungan itu, mereka yang tinggal di Bukit Fraser tidak perlu bimbang dengan penutupan jalan tersebut kerana mereka boleh turun mendapatkan bekalan makanan atau bagi urusan lain menggunakan laluan Kuala Kubu Bharu, Selangor.
“Memandangkan Selangor dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya sudah memaklumkan pegawai di Balai Polis Bukit Fraser untuk memudahkan urusan mereka yang ingin mendapatkan permit merentas negeri bagi tujuan tersebut.
“Perkara ini telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Petugas Pahang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang turut bersetuju dengan keputusan berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.
Tambahnya, sepanjang penutupan jalan itu hanya pasukan keselamatan dan kesihatan sahaja yang dibenarkan menggunakan laluan itu bagi situasi kecemasan, namun mereka perlu memaklumkan pihak polis terlebih dahulu.
Jalan berkenaan hanya akan dibuka semula apabila pihak berkaitan berpuas hati dengan tahap keselamatan laluan itu, katanya lagi.