16 JAN : Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, Pasukan Polis Marin (PPM) menyita pelbagai barang seludup dianggarkan bernilai RM29.8 juta sepanjang tahun 2020 yang membabitkan 407 kes.
Jelas beliau, antara barangan yang sering diseludup masuk ke negara ini ialah minuman keras dan rokok pelbagai jenama di mana PPM juga telah menahan seramai 230 individu yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan di seluruh negara.
“Bagi tahun 2019 pula, pihak kami merampas pelbagai barang seludup dianggarkan bernilai RM102.9 juta dengan penangkapan seramai 392 individu di seluruh negara yang melibatkan sebanyak 687 kes,”
“Tangkapan berkenaan meliputi (tindakan dan penguatkuasaan) daripada pelbagai sudut undang-undang yang berkaitan antaranya (melibatkan) Akta Kastam (1967), Akta Kawalan Bekalan (1961) dan Akta Racun (1952),” katanya.
Kata Abd Rahim lagi, PPM juga telah mempergiatkan kawalan dan rondaan di sempadan perairan negara bagi mengekang pencerobohan dan jenayah rentas sempadan ke Malaysia.
Dalam perkembangan lain, Abd Rahim berkata semua pegawai dan anggota yang bertugas mengawal keselamatan di sempadan perlu dilengkapi dengan helmet dan baju kalis peluru terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi.
“Selain itu, pembekalan peralatan keselamatan (daripada kepala hingga ke kaki) untuk penugasan pasukan infantri dan pasukan Tiger Platoon PGA (Pasukan Gerakan Am) akan ditambah baik dari masa ke masa mengikut keperluan pengoperasian dan seiring dengan perkembangan teknologi terkini,” katanya.
Beliau berkata lagi, pos-pos barisan hadapan PGA di kawasan sempadan akan ditambah baik sekiranya terdapat keperluan untuk dilengkapi dengan binaan yang mempunyai ketahanan dan keupayaan tahan peluru.