16 JAN : Pejabat Perdana Menteri, melalui satu kenyataan hari ini menjelaskan, isu berhubung pembinaan dewan bernilai RM35.4 juta di kawasan Parlimen Pagoh yang tular baru-baru ini, adalah jumlah keseluruhan peruntukan untuk membina tiga dewan dan bukan hanya satu dewan sahaja seperti yang didakwa oleh pihak tertentu.
Tiga buah dewan tersebut ialah Dewan Gersik di Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir yang bernilai RM16.66 juta dan Pusat Komuniti Bukit Kepong di Muar yang bernilai RM5.77 juta.
“Pembinaan ketiga-tiga dewan tersebut adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Manakala perolehan bagi ketiga-tiga projek tersebut dibuat mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan bukannya secara rundingan terus,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri menyifatkan dakwaan yang ditularkan itu adalah berniat jahat dan merasa kesal dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu.