17 JAN: Kementerian Kesihatan mengesan 10 lagi kluster baharu COVID-19 hari ini, termasuk melibatkan kluster pusat tahanan Depot Tahanan Imigresen Sepang, Selangor dan penganjuran majlis hari keluarga di daerah Tuaran dan Kota Belud di Sabah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakan kluster baharu dikesan itu adalah hasil saringan bersasar di tempat kerja serta saringan individu bergejala.
Beliau berkata, ia membabitkan masing-masing dua kluster dikesan di Selangor, Sabah, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain satu kluster dicatatkan di Johor, Pahang, Melaka dan Labuan.
Mengulas lanjut, Kluster baharu berkenaan meliputi Kluster Jalan Pandan Indah membabitkan tempat kerja di daerah Hulu Langat, Selangor
“Kes kluster ini dilaporkan positif, bermula 17 Januari lalu, hasil saringan bersasar di sebuah syarikat yang terletak di Jalan Pandan Indah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Sehingga hari ini, sejumlah 87 individu telah disaring, di mana 77 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagi Kluster DTI Sepang, beliau memaklumkan dikesan di pusat tahanan di Depot Tahanan Imigresen daerah Sepang di Selangor dengan kes dilaporkan positif bermula 3 Januari lalu hasil saringan tahanan sebelum dihantar pulang ke negara asal
Menurut beliau, setakat ini, 80 daripada 238 individu yang disaring, disahkan positif dalam kluster itu.
Dr Noor Hisham menambah, Kluster Taman Ikan Jinak pula dikesan berkaitan majlis hari keluarga ini melibatkan daerah Tuaran dan Kota Belud di Sabah dengan kes indeks dilaporkan positif pada 12 Januari lalu saringan individu bergejala, dan 46 individu telah disaring dengan 21 dikesan positif.
Tambah beliau, satu lagi kluster dikesan di Sabah adalah Kluster Jalan Mawila membabitkan kluster tempat kerja di Kota Kinabalu, Sabah. Kes indeks dilaporkan positif pada 13 Januari lalu hasil saringan sebelum merentas negeri dengan 15 positif COVID-19 hasil saringan 130 individu.
“Bagi kes membabitkan negeri Johor, Kluster Jalan Perak dikesan membabitkan tempat kerja di daerah Johor Bahru di mana bermula pada 31 Disember 2020 hasil saringan bersasar di sebuah kilang yang terletak di Jalan Perak 4, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.
“Sehingga hari ini, sejumlah 504 individu telah disaring, di mana 35 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.
Dr Noor Hisham berkata, dua lagi kluster dikesan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur , iaitu Kluster Jalan Menerung di Lembah Pantai dan Kluster Tapak Bina Jalan Yap di Titiwangsa.
Beliau berkata, kes indeks bagi Kluster Jalan Menerung membabitkan hasil saringan bersasar melibatkan pengawal-pengawal keselamatan di Apartment One Menerung, Jalan Menerung, Bangsar, pada 17 Januari lalu dan 23 individu telah disahkan dijangkiti.
“Bagi kes Kluster Tapak Bina Jalan Yap dilaporkan positif pada 6 Januari lalu hasil saringan pada 17 Januari 2021 hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan yang terletak di Jalan Yap Kwan Seng, Kampung Baru, dengan 21 disahkan positif, setakat ini.
Dalam pada itu, membabitkan negeri Pahang, terdapat Kluster Rantau Lada daerah Temerloh dan Maran di mana kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 9 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala dan mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri dari Selangor.
Tambah beliau, sehingga hari ini, sejumlah 58 individu telah disaring, di mana 19 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.
“Bagi Kluster Pantai Peringgit yang membabitkan daerah Melaka Tengah serta Jasin, Melaka pula kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 11 Januari 2021 hasil saringan indvidu bergejala dan 128 yang disaring, 24 disahkan positif. .
“Wilayah Persekutuan Labuan juga mencatatkan kluster baharu yang dikenali sebagai Kluster Jalan Mohammed Salleh membabitkan kes tempat kerja di mana kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 16 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala dan mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah.
“Sehingga hari ini, sejumlah 423 individu telah disaring, di mana 12 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH