17 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 608 individu semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 580 telah dikompaun manakala 27 direman dan seorang dijamin.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (200), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (147), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (66) gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (46), premis beroperasi lebih masa (42), aktiviti pusat hiburan (11) dan lain-lain (96),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau menambah, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong serta merampas tujuh kenderaan darat semalam.
Sebanyak 415 sekatan jalan raya dilaksanakan di seluruh negara semalam melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 101 operasi sanitasi awam dilaksanakan di seluruh negara di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semalam.
Operasi tersebut meliputi meliputi 31 Zon Merah, 3 Zon Jingga, 5 Zon Kuning dan 1 Zon Hijau telah dilaksanakan melibatkan Melaka (12 operasi), Sarawak (12 operasi), Sabah (10 operasi), Selangor (8 operasi) Pulau Pinang (5 operasi), Pahang (4 operasi), Perak (4 operasi), Kelantan (3 operasi), Johor (1 operasi), Terengganu (1 operasi), Kedah (1 operasi), Negeri Sembilan (1 operasi), serta Kuala Lumpur (6 operasi), Putrajaya (2 operasi) dan Labuan (1 operasi).
Beliau berkata, penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di lima tapak binaan di seluruh Malaysia dan hasil pemeriksaan mendapati kesemua tapak binaan telah mematuhi SOP yang ditetapkan.
Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 1,166 pemeriksaan khas Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.
“Daripada jumlah itu, 1,161 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala lima premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN