17 JAN: Semua pemimpin mesti menghentikan polemik politik yang tidak memberi sebarang manfaat kepada negara dalam situasi COVID-19 yang semakin menggila ketika ini.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, tumpuan sepatutnya diberikan terhadap usaha membantu rakyat yang terjejas.
“Jadi saya rasa ini bukan masanya untuk kita banyak berpolitik, lebih baik kita tumpu kepada usaha membantu rakyat,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook beliau, hari ini.
Beliau mengulas tentang sikap pemimpin-pemimpin pembangkang yang berterusan mempersoalkan kewajaran Proklamasi Darurat bagi mengekang penularan COVID-19.
Malaysia mencatatkan 4,029 kes baharu jangkitan COVID-19 semalam, jumlah tertinggi sejak pandemik tersebut melanda negara.
Sementara itu, berhubung kebenaran pembukaan semula taman awam seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikatakan tidak selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Annuar memberitahu, pihaknya mengakui menerima sindiran daripada beberapa pihak berhubung kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu.
Menteri Wilayah Persekutuan itu menambah, kebenaran membenarkan taman awam dibuka bukan dilakukan secara bersendirian namun diputuskan secara bersama selepas dibawa dalam mesyuarat Pusat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan (CMC WP) dan dibangkitkan dalam mesyuarat MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Selepas dibincang secara elok-elok maka kita bersetuju taman awam dibuka dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Ada beberapa hantaran yang menyindir saya, tidak apa, saya okey. Mulanya taman awam ditutup tetapi apabila ada pandangan balas maka kita teliti dan lihat kewajaran mengikut kesesuaian.
“Ada yang kata ini adalah ‘flip-flop’ namun kalau flip-flop ubah keputusan ke arah kebaikan tak apa, jangan ‘flip-flop’ yang menimbulkan kekeliruan, benda baik dan betul untuk kebaikan rakyat kita mesti lakukan,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap agar kebenaran pembukaan taman awam itu tidak dijadikan isu sebaliknya meminta orang awam terus mematuhi SOP yang ditetapkan MKN.
“Kita mesti jadi kerajaan yang mendengar, apabila keluar arahan, tak boleh ‘rigid’, kena uruskan benda ini dengan baik dan dengar pandangan rakyat.
“Hidup mesti diteruskan tetapi nyawa perlu dilindungi. Aktiviti harian, soal cari makan juga perlu dijaga,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH