18 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan sembilan lagi kluster baharu menjadikan jumlah keseluruhan kluster kini sebanyak 660 kluster di mana daripada jumlah tersebut, 361 kluster telah ditamatkan termasuk dua kluster di Sabah, iaitu Kluster Mesra dan Kluster Samudera hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kluster aktif yang sedang dipantau adalah sebanyak 299 kluster dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 81 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.
“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Muda (217 kes), Kluster Tapak Bina Perdana Avenue (145 kes), dan Kluster Tapak Bina Casuarina (76 kes),” ujarnya menerusi satu kenyataan harian Covid-19 hari ini.
Berhubung sembilan kluster baharu itu pula, Noor Hisham menjelaskan ia melibatkan negeri Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Kelantan, Pahang dan Sabah.
“Sembilan kluster tersebut ialah Kluster Taman Tasik Sungai Chua, kluster tempat kerja yang melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor. Kluster Tapak Bina Jalan Nipah pula melibatkan daerah Titiwangsa di Wilayah Persekutuan dan Kluster Tapak Bina Era Duta melibatkan daerah Kepong juga di Kuala Lumpur.
“Kluster baharu yang dikesan di Sabah pula ialah Kluster Kompleks Segamaha yang melibatkan daerah Kinabatangan dan Kluster Jalan Bukit Bendera melibatkan daerah Kota Kinabalu, Papar dan Beaufort.
“Manakala Kluster Jalan Suria pula melibatkan sebuah pusat perubatan swasta yang terletak di Jalan Suria, Johor Bahru, Johor dan kluster tempat kerja, Kluster Jalan TJ melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan,” ujarnya.
Dua lagi kluster baharu yang dikesan ialah di Pasir Puteh Kelantan dan Kluster Kafe Genting yang melibatkan sebuah kafe pusat rekreasi di Genting Highlands, Bentong, Pahang, ujarnya.