18 JAN : Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Rafiq Abdullah berkata, tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mencabar proklamasi darurat melalui mahkamah jelas memperlihatkan sikap beliau yang lebih mementingkan agenda politik peribadinya berbanding kepentingan rakyat di negara ini.
Mohd Rafiq berkata, dalam keadaan negara sedang dilanda pandemik Covid-19 ini, Ketua Pembangkang itu sepatutnya perlu bersama-sama berganding bahu membantu dan melupakan soal politik dan kuasa untuk sementara waktu.
“Jika kita perhalusi tindakan Anwar selama ini, beliau hakikatnya lebih mengutamakan soal agenda politik peribadinya berbanding soal kepentingan rakyat.
“Di kala rakyat sedang bergelut dengan pelbagai masalah terutama ekonomi yang terjejas akibat Covid-19, beliau pula tak habis-habis dengan usaha untuk merebut kuasa.
“Sebelum ini, beliau bertemu Yang diPertuan Agong kononnya sudah mempunyai sokongan ahli parlimen dan terkini, beliau mahu mencabar keputusan Darurat yang dibuat baginda di mahkamah pula.
“Anwar sepatutnya bersabar dan tunggu sajalah pilihanraya umum yang akan diadakan tidak lama lagi. Saya yakin, setelah kes jangkitan Covid-19 ini semakin menurun dan pulih, Perdana Menteri akan laksanakan PRU untuk memberi mandat kepada rakyat memilih kerajaan yang stabil dan kuat,” ujarnya ketika dihubungan PNBBC hari ini.
Selain itu, kata Mohd Rafiq lagi yang juga merupakan Ketua Bersatu Bahagian Sungai Buloh, tindakan ketua pembangkang itu juga menggambarkan seolah-olah beliau tiada rasa hormat terhadap keputusan yang telah dibuat oleh Yang diPertuan Agong dalam usaha negara untuk mengekang penularan Covid-19 ini.
“Ya, memang Perdana Menteri dan jemaah menteri yang menasihati Yangd diPertuan Agong dalam membuat keputusan itu berdasarkan keadaan negara yang sedang dilanda pandemik Covid-19 ini, supaya kerajaan boleh menumpukan perhatian terhadap usaha mengekang penularan jangkitan ini.
“Tetapi Anwar perlu ingat, bahawa keputusan Darurat ini bukanlah keputusan Perdana Menteri, tetapi ini adalah keputusan Yang diPertuan Agong setelah mengkaji dengan teliti dengan mendalam segala nasihat yang diberikan oleh jemaah Menteri,” ujarnya.
Justeru katanya, tindakan Anwar yang mahu mencabar keputusan Darurat di mahkamah itu hakikatnya adalah mahu mencabar keputusan yang telah dibuat oleh Yang diPertuan Agong dan bukannya Perdana Menteri.
“Jadi saya minta agar Anwar dan pihak pembangkang janganlah buat tuduhan yang bukan-bukan terhadap kerajaan, kononnnya Darurat ini dibuat semata-mata untuk Muhyiddin mengekalkan kuasa dan sebagainya.
“Sedangkan hakikatnya, apa yang kita lihat berdasarkan tindakan Anwar sejak kebelakangan ini, beliaulah yang sebenarnya terdesak mahukan kuasa sehingga tidak mempedulikan keadan negara dan kepentingan rakyat, bahkan cuba mencabar keputusan Yang diPertuan Agong pula,” tegasnya.-Oleh Hafiz Hamzah