18 JAN: Biarpun banyak pihak mendesak supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ‘berehat’ atau bercuti sementara dari tugasnya selaku Presiden UMNO, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berpandangan sebaliknya.
Beliau berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu patut terus diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah sehingga tamat tempoh jawatannya.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berharap Ahmad Zahid akan diberi peluang untuk memimpin UMNO sehingga Presiden baharu dipilih dalam pemilihan Majlis Tertinggi parti yang dijadual berlangsung, tahun ini.
“Walaupun ada pandangan yang mahukan Presiden ‘berehat’, saya merasakan patut beliau di beri peluang menamatkan tempohnya mengikut peraturan.
“Apapun tahun 2021 ini tahun pemilihan MT. Biarlah proses biasa dalam parti berjalan. Sementara itu, sama-sama berusahalah perbaiki keadaan parti,” katanya dalam ciapan Twitter, hari ini. – Oleh HAIKA KHAZI