18 JAN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, agensi tersebut akan menahan beberapa lagi individu dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan berhubung isu kartel daging sejuk beku.
Kata SRPM dalam kenyataan itu lagi, setakat ini pihak berkuasa itu sudah menahan lapan suspek, selain memanggil 27 saksi sejak 4 Januari lalu bagi menyiasat kes berkenaan.
“Semua suspek yang ditahan terdiri daripada pekerja syarikat, ejen pengimport dan pegawai kerajaan.
“SPRM menyiasat kes berkenaan mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu serta kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen,”jelas kenyataan itu.
SPRM buat masa ini masih aktif menjalankan siasatan, menganalisis maklumat, mengumpul bukti serta bakal membuat beberapa lagi tangkapan bagi melengkapkan siasatan, kata kenyataan itu lagi.
Semalam, SPRM Johor menahan seorang pengarah sebuah syarikat berusia 36 tahun dan suspek direman selama enam hari bermula hari ini.