18 JAN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga RM1,000 bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembayaran itu adalah penambahbaikan kemudahan i-Sinar terutamanya bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan serta bencana banjir.
Menurut beliau, proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian.
“Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini, yang akan dibuat mulai 26 Januari.
“Maklumat lanjut akan diumumkan oleh KWSP dalam masa terdekat,” katanya ketika menyampaikan pengumuman khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) secara langsung hari ini.
PERMAI yang mempunyai 22 inisiatif berteraskan tiga matlamat utama membantu rakyat dan komuniti perniagaan semasa PKP melibatkan nilai keseluruhan RM15 bilion.
Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, semasa tempoh pelaksanaan PKP, bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan.
Beliau menambah, moratorium, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank, seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Bagi negeri-negeri yang dilanda banjir, 15 buah bank juga telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman,” jelasnya.
Muhyiddin berkata, setakat ini, lebih 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan pembayaran, dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu dan 99 peratus bagi peminjam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Ini membuktikan bahawa rakyat tidak perlu bimbang untuk menghubungi bank jika mereka memerlukan fleksibiliti pembayaran,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank mereka, Bank Negara Malaysia (BNM) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bersedia untuk membantu dan memberi khidmat nasihat kepada anda melalui telefon atau secara dalam talian.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional (BPN 2.0) akan dipercepatkan, mulai 21 Januari ini.
Bagi BPN 2.0, sejumlah 11.1 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak 2.38 bilion ringgit manakala bayaran fasa pertama BPR pula melibatkan lebih lapan juta penerima.
Beliau menambah, Jabatan Kebajikan Masyarakay (JKM) juga akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan yang merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM50 juta.
“Bagi memastikan kebajikan kumpulan rentan terus terpelihara, kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta di bawah program GLIC/GLC Disaster Relief Network sebagai geran padanan bersama syarikat berkaitan kerajaan bagi inisiatif sosial.
“Ini termasuklah pemberian bantuan komuniti termasuk masyarakat warga emas, gelandangan, OKU dan mangsa banjir,” ujarnya.
Muhyiddin memaklumkan, sebagai tanda penghargaan kepada usaha murni rakyat yang ingin bersama-sama menyalurkan sumbangan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif dalam bentuk potongan cukai kepada penderma yang menyumbang wang tunai atau barangan serta membantu rakyat yang terkesan dengan wabak tersebut.
“Penyumbang tersebut layak menuntut potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan atau pendapatan agregat mereka,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN