19 JAN : Lebih 5,000 kilogram tepung gandum disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Pulau Pinang daripada seorang pemborong kerana menyimpan barang kawalan berjadual melebihi jumlah yang dibenarkan dalam lesen.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Daerah Timur Laut Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, operasi ke sebuah premis semalam mendapati pemborong tersebut menyimpan sebanyak 12 tan tepung gandum.
“Sepatutnya pemborong hanya boleh menyimpan sebanyak tujuh tan tepung gandum pada satu-satu masa.
“Pemilik premis melanggar Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barangan kawalan melebihi had seperti yang dinyatakan dalam lesen,” ujarnya,
Kata Ahmad Ahrazzuddin lagi, kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda hingga RM1 Juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua–duanya, manakala syarikat boleh dikenakan denda tidak lebih RM2 juta.