19 JAN: Bintang filem veteran Indonesia, Farida Pasha yang popular menerusi lakonannya sebagai Mak Lampir disahkan meninggal dunia akibat COVID-19, Sabtu lalu.
Memetik laporan agensi, kematian Farida, 68, dimaklumkan oleh cucunya, Ify Alkyssa melalui aplikasi WhatsApp.
“Assalamualaikum. Ibunda atau nenek kami, Hajjah Farida Pasha Ali Husen sudah kembali ke rahmatullah pada 16 Januari 2021 jam 7.35 malam (waktu tempatan),” katanya.
Ify yang juga seorang penyanyi berharap semua pihak dapat menitipkan doa untuk Farida dan mengampunkan kesalahan yang pernah dilakukan.
“Atas segala kekhilafan arwah semasa hidupnya, kami memohon dibukakan pintu maaf sebesar-besarnya.
“Terima kasih atas segala bentuk perhatian, sokongan dan doa yang disampaikan selama arwah sakit hingga saat terakhirnya,” katanya.
Sementara itu, anak Allahyarham, Gina Sonia dilaporkan berkata, arwah ibunya pernah dimasukkan ke hospital akibat vertigo.
“Pada mulanya, Mama sakit vertigo dan selepas dua kali berjumpa doktor, keadaannya semakin lemah.
“Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan, Mama disahkan menghidap pneumonia peringkat awal.
“Hasil ujian saringan menunjukkan Mama positif COVID-19,” kata bekas pembaca berita TVRI itu.
Allahyarham Farida yang sudah membintangi lebih 50 filem, dilahirkan di Tasik Malaya, Jawa Barat, pada 21 Ogos 1952.
Nama arwah meledak selepas membintangi filem Guna-Guna Istri Muda bersama aktor Roy Marten dan Rina Hashim.
Kali terakhir Allahyarham Fasha muncul di layar perak adalah dalam filem The Secret Suster Ngesot Urban pada 2018.
November lalu, arwah menerima trofi Anugerah Sepanjang Hayat oleh Forum Perfileman Bandung.