19 JAN: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz disahkan positif COVID-19 sejak semalam.
Beliau dijangkiti wabak tersebut selepas menjadi kontak rapat dengan seorang pesakit COVID-19 menerusi sidang media yang dilakukannya Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.
Menurut Mohamed Nazri, beliau melakukan ujian saringan selepas mengetahui terdapat kontak rapat yang hadir ke sidang medianya telah disahkan positif COVID-19.
“Zaharin (Datuk Zaharin Mohd Yasin) masukkan dalam blog dan kata dia positif COVID-19 dan lepas saya baca blog itu.
“Saya pun buatlah ujian dan sah saya COVID-19 positif semalam,” katanya, hari ini.
Mohamed Nazri melakukan sidang media di Ibu Pejabat UMNO di Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu yang turut dihadiri oleh beberapa pemberita serta Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Susulan empat hari selepas itu, Zaharin, yang merupakan bekas setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak yang hadir dalam sidang media tersebut mengesahkan dirinya dijangkiti COVID-19.
Sementara itu, Mohamed Nazri mengesahkan beliau sedang menjalani kuarantin di Hospital Raja Perempuan Zainab di Kota Bahru, Kelantan bermula semalam.