19 JAN : Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka mewujudkan Pasukan Petugas Khas Program Saringan Kesihatan Covid-19 (TF-PSKC19) bagi mengesan majikan yang enggan melakukan saringan Covid-19 ke atas pekerja warga asing mereka.
Menurut Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Melaka Datuk Ismail Othman, gerak kerja TF-PSKC19 akan dilaksanakan secara bersepadu dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) Melaka dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka bermula hari ini sehingga 28 Jan.
“Sehingga kini, terdapat 2,125 majikan dengan 54,535 jumlah pekerja asing berdaftar direkodkan di Melaka dan jumlah ini agak besar. Majikan di Melaka yang menggajikan lebih 50 pekerja asing wajib memastikan mereka menjalani saringan kesihatan Covid-19 dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh majikan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah selesai melancarkan program penubuhan pasukan tersebut.
Turut hadir Pengarah JTK Melaka Rosli Jantan, Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar dan Pengarah JKKP Melaka Rabaayah Daud.
Ismail berkata setakat ini pihaknya belum mendapat maklumat tentang jumlah pekerja asing yang telah melakukan saringan kesihatan Covid-19 dan kerajaan negeri bimbang berlaku penularan wabak itu dalam sektor industri atau pengilangan kerana ia melibatkan jumlah pekerja warga asing yang besar.
Katanya majikan yang tidak melakukan saringan kesihatan Covid-19 ke atas pekerja warga asing boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.