19 JAN: Pengumuman Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) berjumlah RM15 bilion oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah salah satu inisiatif kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi membantu kelangsungan hidup rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin, berkata pihaknya menyambut baik pengumuman pakej bantuan PERMAI berjumlah RM15 bilion diumumkan Perdana Menteri, semalam.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PN berkata, pelaksanaan Program Subsidi Upah 3.0 dilihat akan memberi kesan positif kepada anak muda yang mengalami masalah kekurangan peluang pekerjaan dan pengangguran akibat pandemik COVID-19.
“Di samping itu, inisiatif Skim Mikrokredit, Geran Khas Prihatin PERMAI serta kempen ekonomi digital untuk PKS dan ‘Shop Malaysia Online’ akan membantu golongan usahawan, khususnya anak muda dalam mendepani kegetiran dalam perniagaan akibat pelaksanaan PKP 2.0.
“Pakej PERMAI juga memberikan sumbangan yang menyeluruh dengan bantuan kebajikan kepada golongan terjejas. Di samping itu, manfaat besar diperolehi oleh para frontliners dan pasukan kesihatan melalui elaun-elaun tambahan sebagai menghargai jasa mereka dalam memastikan negara bebas dari wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.
Khairil Nizam berkata, Pemuda PAS yakin inisiatif ini akan dapat membantu rakyat di saat semua pihak sedang diuji dengan kesukaran akibat pandemik yang berlaku.
“Semoga pakej PERMAI ini mampu memberi impak besar dalam menjana kebajikan rakyat, di samping memastikan ekonomi negara terus berkembang ke arah lebih baik,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI