20 JAN: Semua ahli politik di negara ini diseru menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan mengurangkan polemik politik serta bersama-sama membantu menangani wabak COVID-19 yang dilihat semakin membimbangkan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed semua pihak mesti mengetepikan perbezaan politik, bangsa dan agama, bagi memerangi COVID-19 yang berterusan mencatatkan kes positif harian empat angka, sejak hujung tahun lalu.
“Kepada sahabat-sahabat dalam politik, sama ada kerajaan atau pembangkang, kurangkanlah politiking, kurangkanlah suhu politik.
“Patuh dan akurlah dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi menyelamatkan nyawa serta kehidupan kita semua,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.
Semalam, menerusi kenyataan media Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, memaklumkan Seri Paduka Baginda yakin, dengan sokongan dan kerjasama semua pihak, negara mampu untuk sekali lagi melandaikan keluk kes jangkitan COVID-19, sekali gus meringankan beban dipikul petugas barisan hadapan.
Menurutnya, baginda menzahirkan kegusaran, melihat peningkatan keperluan rawatan rapi dan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) khususnya di Lembah Klang, yang mencatatkan kenaikan mendadak kes-kes positif.
Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Jeli itu mengesahkan dirinya dalam keadaan sihat setelah 11 hari menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan.
Namun beliau masih tidak dibenarkan pulang ke rumah kerana masih menerima rawatan susulan.
“Hari ini hari kesebelas di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Terima kasih doktor, jururawat dan petugas yang tidak kenal penat lelah demi menjaga kesihatan kami.
“Keadaan saya bertambah baik sikit tetapi doktor tidak benarkan pulang lagi kerana rawatan pada paru-paru masih belum selesai. Kandungan oksigen ok, tekanan darah ok, darah keseluruhan ok, makan pun ok walaupun selera belum 100 peratus,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Jeli itu telah disahkan positif COVID-19 pada 9 Januari lalu dan telah menerima rawatan di HRPZ II sejurus mendapat keputusan tersebut.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak berkompromi dan sentiasa mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) serta penguatkuasaan yang telah ditetapkan.
“COVID-19 masih mengancam, hospital dan ICU kita semakin penuh. Jaga diri dan keluarga baik-baik. Rakyat perlu patuh SOP 100%, penguatkuasa jangan berkompromi.
” Terima kasih kepada semua sahabat handai, ahli keluarga dan rakyat Malaysia yang menghantar mesej, sampai salam dan berdoa berterusan. Ini semua memberi semangat dan dorongan kepada saya untuk meneruskan perjuangan melawan Covid-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH