20 JAN: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memohon agar orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi terhadap Allahyarham Dr Ali Noor Hassan yang meninggal dunia, kelmarin.
Beliau berkata, keputusan COVID-19 Allahyarham adalah negatif dan telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak tahun lalu disebabkan menghidapi penyakit lain.
“Adalah dimaklumkan bahawa ujian COVID-19 buat Allahyarham Dr Ali Noor adalah negatif. Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember 2020 disebabkan penyakit lain dan telah menjalani beberapa sesi rawatan.
“Bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga Allahyarham Dr Ali Noor, Kementerian Kesihatan memohon agar mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes beliau,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Pemergian Allahyarham Ali dikongsikan menerusi Facebook Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) lewat malam tadi.
SPJM meluahkan rasa kehilangan seorang ahlinya yang begitu komited berkhidmat untuk ummah tanpa mengharapkan balas serta berkhidmat dengan ikhlas.
Dalam pada itu, menceritakan keperibadian Allahyarham Ali, Noor Hisham memberitahu beliau merupakan seorang Pegawai Perubatan KKM yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat beliau.
”Marilah kita sama-sama memanjatkan doa dan peringatan buat arwah Dr Ali Noor.
”Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” kata Dr Noor Hisham yang turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarganya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH