20 JAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung punca dan dalang menyebabkan kemusnahan kawasan hutan berhampiran Air Terjun Tanjung Batu dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang, Manjung, Perak seperti dilaporkan media, baru-baru ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata hasil siasatan awal dilakukan oleh JAS Perak pada 18 dan 19 Januari lalu, mendapati kemusnahan hutan di kawasan Air Terjun Tanjung Batu dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang adalah berpunca daripada projek kuara granit yang terletak tidak jauh dari situ.
“Siasatan awal juga mendapati terdapat enam ketidakpatuhan syarat kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) terutama melibatkan kerja-kerja tanah yang dijalankan tanpa mengikut pelan ‘Land Disturbing-Pollution Prevention and Mitigation Measures (LD-P2M2).
“Berikutan itu, JAS Perak telah memasang ‘cordon tape’, arahan di lapangan dan Notis Arahan juga telah dikeluarkan untuk tindakan remedi. JAS Perak sedang melengkapkan kertas siasatan dan memanggil pihak-pihak yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebook miliknya hari ini.
Sebelum ini media melaporkan keindahan dan keunikan Air Terjun Tanjung Batu dekat Pantai Remis di sini, didakwa mulai musnah sejak aktiviti kuari dibenarkan dalam kawasan terbabit sejak Julai tahun lalu.
Aktiviti kuari di situ dipercayai dijalankan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut melakukan pembersihan hutan dilakukan untuk aktiviti kuari.
Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Ismady Radzuan, mendakwa kegiatan itu menimbulkan kegusaran apabila pokok ditebang tanpa terancang hingga mencacatkan keindahan landskap air terjun berkenaan.
Katanya, beliau menyedari keadaan di kawasan air terjun seluas hampir satu hektar pada ketinggian 300 meter itu semakin serius ketika membuat tinjauan untuk penanaman pokok bakau di kawasan berhampiran pada 14 Januari lalu.