21 JAN: Kerajaan bercadang meminda Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 bagi memasukkan kandungan media sosial seperti perbuatan jelik golongan yang memakai pakaian bertentangan jantina dan penukaran jantina sebagai salah satu cabang jenayah syariah.
Difahamkan, tindakan berkenaan perlu bagi menyekat penularan kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang berleluasa di Malaysia sekarang.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau bersedia mendengar pandangan dan maklum balas pelbagai pihak mengenai penguatkuasaan undang-undang syariah dan hukuman terhadap golongan yang mengenakan pakaian bertentangan dengan jantina.
“Sejak pagi semalam, saya mendengar dengan tekun pendapat-pendapat yang diutarakan, baik daripada pihak yang menyokong, menyelar mahupun yang mempertikaikan aspek hukuman kepada golongan ini. Kesemuanya ada dalam catatan saya.
“Pertamanya, saya nak bagi satu contoh situasi mengikut undang-undang di Wilayah Persekutuan. Katalah kita tahu ada seorang ‘Mak Nyah’ di sana. Di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah, penguat kuasa agama tidak boleh mengambil tindakan semata-mata kerana dia seorang ‘Mak Nyah’. Pihak pendakwa perlu membuktikan bahawa dia menjadi ‘Mak Nyah’ di tempat awam dan dengan tujuan tidak bermoral,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata undang-undang syariah Malaysia agak ketinggalan segi misalnya jika perlakuan itu dimuat naik ke media sosial, ia tidak dikira sebagai tempat awam.
“Inilah sebab kita mahu pinda semua undang-undang syariah yang ada kaitan dan kita akan usahakan secara berperingkat. Kita mahu undang-undang syariah juga selari dengan perkembangan arus teknologi dan keadaan semasa.
“Ada dua perkara yang saya akan pastikan ia dimasukkan dalam pertimbangan untuk pindaan. Pertama, tukar jantina perlu dijadikan kesalahan khusus dalam Undang-undang Jenayah Syariah.
“Kedua, kandungan media sosial yang berkaitan dengan semua perlakuan bertentangan dengan jantina iaitu yang tidak senonoh, lucah dan jelik juga perlu dijadikan salah satu jenis kesalahan syariah yang dilakukan secara dalam talian,” katanya.
Berikutan itu, kerajaan sudah menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak (Task Force) bagi menangani isu LGBT dalam kalangan mereka yang beragama Islam.
Beliau berkata jawatankuasa ini dianggotai oleh lebih 20 organisasi yang berkepentingan dan sudah memulakan mesyuarat pertamanya pada Disember lalu.
“Doa dan sokongan kalian semua amatlah kami harapkan dalam usaha mengekang individu dan organisasi yang cuba mempromosi gaya hidup songsang kepada anak-anak kita,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI