21 JAN: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menamatkan sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas beberapa negara majoriti penduduknya Islam.
Memetik laporan Agensi Anadolu, pentadbiran baharu di bawah Biden menyifatkan sekatan yang dikenakan oleh bekas Presiden Donald Trump dahulu sebagai tindakan diskriminasi.
“AS dibina atas landasan kebebasan beragama dan toleransi, prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan negara,” katanya pada Rabu.
Biden menandatangani perintah eksekutif itu di Pejabat Oval setelah mengangkat sumpah sebagai Presiden AS ke-46.
Trump mengenakan larangan itu pada Mac 2017 dengan perintah eksekutif diikuti proklamasi yang memperkenalkan proses kelayakan dan pemeriksaan, dengan menyebut ia sebagai cubaan menyusup masuk ‘pengganas’ atau ‘ancaman keselamatan awam’, sebagai langkah menghalang individu memasuki AS dari negara-negara Islam dan kemudiannya beberapa negara Afrika lain.
Negara-negara yang dikenakan sekatan termasuk Syria, Somalia, Yaman, Iran, Iraq, Libya dan Sudan.
“Keselamatan negara kita akan ditingkatkan dengan membatalkan Perintah Eksekutif dan Proklamasi itu,” kata Biden.
Beliau turut mengarahkan semua kedutaan dan konsulat Amerika untuk meneruskan proses permohonan visa bersesuaian dengan langkah itu.