Henti tindakan gugat permuafakatan parti politik Melayu
21JAN : Perikatan Nasional (PN) Johor kesal jika benar terdapat dakwaan daripada UMNO yang mengatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah jujur bekerjasama dengan mereka untuk membentuk gabungan berkenaan.
Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, isu tidak seharusnya timbul dalam kalangan parti-parti yang mendukung kerajaan semasa.
“Ini kerana di Johor contohnya, meskipun terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar susulan peralihan kerajaan pada tahun lalu, Bersatu kekal tenang dan terus berkhidmat serta menyokong pentadbiran kerajaan negeri yang ada pada hari ini.
“Saya berharap sebarang tindakan yang boleh mengganggu gugat permuafakatan antara satu sama lain dapat dihentikan atas dasar kerjasama yang terjalin sejak Mac tahun lalu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media hari ini.
Bagaimanapun, menurut beliau PN Johor tidak terjejas sama sekali dengan dakwaan UMNO mahu memutuskan kerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
“Memang diakui terdapat beberapa perkara berbangkit dalam kalangan ahli Bersatu yang menimbulkan rasa tidak puas hati. Namun, masalah itu tidak dilontarkan secara terbuka dengan dakwaan yang boleh menjejaskan hubungan baik sesama parti komponen.
“Adalah amat penting untuk kita saling bemuafakat dalam mengharungi cabaran, sekali gus mengelak mengeluarkan kenyataan yang mengguris perasaan sesama kita,” ujarnya lagi.
Dalam mendepani cabaran politik terutamanya PRU15 yang akan datang, tiada parti mampu mendabik dada hanya dengan pengalaman politik kerana pilihan raya kali ini sangat berbeza, jelasnya.
“Tiada parti berpengalaman berdepan dengan pilihan raya dalam keadaan demografi politik yang sepenuhnya berbeza. Ini dirumitkan lagi dengan cabaran yang dihadapi di seluruh dunia melibatkan ancaman COVID-19 yang melumpuhkan ekonomi,” katanya.
Justeru, Dr Sahruddin berkata pihaknya menyeru setiap parti komponen dalam gabungan PN untuk terus bermuafakat kerana perbalahan hanya akan menyukarkan penubuhan sebuah kerajaan.
“Mahu atau tidak, kita mesti bekerjasama untuk memastikan kita menang (PRU15),” katanya.