21 JAN: Jumlah mangsa banjir di Sabah masih kekal sebanyak 443 orang merangkumi 134 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar negeri itu setakat jam 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah mangsa banjir di empat daerah iaitu Kota Belud, Papar, Beaufort dan Tenom sama seperti yang direkodkan sehingga tengah malam tadi.
Beaufort mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 247 orang daripada 76 keluarga yang ditempatkan di dua PPS, diikuti Kota Belud (129 orang daripada 35 keluarga); Papar (41 orang daripada 18 keluarga) dan Tenom (26 orang daripada lima keluarga).
Semalam, sebanyak lapan PPS masing-masing tiga di Kota Belud, Kota Kinabalu (dua), Tuaran (dua) dan satu di Paitan telah ditutup.
Secara keseluruhan, sebanyak 111 kampung masih terjejas banjir setakat ini, selain hujan di beberapa daerah termasuk Beaufort dan Kota Belud.