21 JAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kuala Lumpur sedang menyiasat dakwaan berhubung pencemaran yang berlaku di Taman Tasik Metropolitan, Kepong.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, siasatan dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng dan orang awam mengenai pencemaran berlaku di kawasan terbabit, semalam.
Menurut beliau, JAS Kuala Lumpur telah menghubungi Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan sedang dijalankan dan sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk mengenal pasti punca pencemaran. Maklumat akan dikemaskini nanti,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya hari ini.
Tuan Ibrahim turut berkongsi sekeping gambar menunjukkan lokasi pencemaran yang dilaporkan berlaku di kawasan di Taman Tasik Metropolitan. – Oleh HAIKA KHAZI