22 JAN : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukum penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan umat Islam dalam negara selaras dengan pandangan tokoh-tokoh ilmuwan Islam dan institusi-institusi fatwa dunia.
Malah, Dr Zulkifli turut mengambil inisiatif menulis surat kepada tokoh ilmuwan Islam dunia, bagi mendapatkan pandangan peribadi mereka dalam hal berkenaan.
“Ini termasuk kepada Syeikh al-Azhar Syeikh Dr Ahmad al-Tayyib; Pengerusi Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu Syeikh Abdullah Ben Bayyah; dan anggota Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat Syeikh Dr Muhammad al-Zuhaily.
“Semuanya menjurus kepada perlunya vaksin dan pendapat ini juga saya terima dari MUI (Majlis Ulama Indonesia),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam khutbah Jumaatnya di Surau Ar Rahman, Ibu Pejabat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di sini, yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook rasminya.
Zulkifli pada 23 Disember lalu mengumumkan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.
Zulkifli berkata pihaknya akan berterusan memberi kefahaman dan pencerahan sebaiknya kepada umat Islam dalam negara, berkenaan isu vaksin itu.
Menurutnya lagi, sesuatu hukum yang diputuskan tidak ada kena mengena untuk kepentingan peribadi, tetapi ia lebih bagi menyelesaikan permasalahan umum.