22 JAN: Sebanyak 539 projek infrastruktur dirancang oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sepanjang tahun ini walaupun terpaksa berdepan kekangan akibat pandemik COVID-19.
Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, projek tersebut termasuk sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang perlu diberi keutamaan, disegerakan dan dipantau rapi.
“Ini bagi memastikan pelaksanaan projek berkaitan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2021 KPLB yang disiarkan secara maya menerusi Facebook kementerian itu, hari ini.
Beliau berkata, peruntukan berjumlah RM10.2 bilion diterima KPLB dalam Belanjawan 2021, boleh dianggap sebagai besar ketika ekonomi negara masih terkesan dengan wabak COVID-19, malah jumlah peruntukan itu meningkat sebanyak RM431 juta atau 4.41 peratus berbanding Belanjawan 2020.
Menurut Dr Abd Latiff, daripada jumlah itu, sebanyak RM3.53 bilion peruntukan mengurus dan RM6.65 bilion peruntukan pembangunan dan lebih banyak projek pembangunan luar bandar akan dilaksanakan yang bukan sahaja melibatkan dari segi infrastruktur namun ekonomi dan modal insan.
“Kita juga memfokuskan untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar kerana kita lihat bilangan isi rumah miskin meningkat dari 78, 187 isi rumah pada bulan April 2020 kepada 182116 isi rumah iaitu pertambahan dua kali dan bilangan ini dijangka meningkat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyukarkan rakyat untuk bekerja.
“Jadi, terdapat kira-kira 20 program yang diselaraskan oleh KPLB namun ini semua program perlu diselaraskan dengan sebaiknya bagi menggelakkan pertindihan dan mampu mengeluarkan mereka yang berkaitan daripada lingkaran kemiskinan di samping memberi penumpuan pendapatan bagi memperkasakan ekonomi luar bandar dengan mempelopori sumber ekonomi baharu,” katanya.
Beliau menambah, KPLB dan agensi-agensi dibawahnya juga telah memperuntukkan sebanyak RM792,500 dalam menyediakan kit bantuan banjir bagi meringkan beban rakyat yang terjejas akibat bencana itu, baru-baru ini.
Tambah Dr Abd Latiff, inisiatif kit tersebut telah diberikan kepada 12,603 mangsa yang melibatkan bakul makanan, barangan keperluan harian serta peralatan mandian yang diharapkan dapat membantu khususnya sukar untuk mendapat bantuan disebabkan kekangan wabak COVID-19.
“Giat Mara juga telah mula turun padang untuk membantu memeriksa sambungan elektrik rumah-rumah mangsa banjir dan sehingga kini 126 rumah telah diperiksa dan lagi 50 buah akan dilihat dalam masa terdekat.
“Kami berharap agar program ini akan dapat memeriksa rumah dengan lebih banyak untuk diperiksa keselamatan rumah itu dan diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa-mangsa banjir. Kami berharap kita juga daapt menyegerakan bantuan balik pulih rumah atau bina rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mangsa-mangsa banjir yang layak.
“Pada tahun ini, sebanyak RM335 juta telah diperuntukan untuk PPRT iaitu sebanyak RM138.34 juta untuk dibina baharu yang akan memberi manfaat kepada 2,000 penerima dan RM206.7 juta untuk membaik pulih yang memberi manfaat kepada 14,000 penerima. Walaupun kekangan wabak COVID-19, kita juga akan melaksanakan banyak perancangan seperti tahun 2020,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH