22 JAN: Dua rakyat Malaysia iaitu Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin merupakan dua individu yang bakal didakwa bersama ketua Jihad Islamiyah (JI), Riduan Isamuddin atau lebih dikenali sebagai Hambali oleh pendakwa raya tentera Amerika Syarikat (AS).
Memetik laporan AFP, pertuduhan rasmi difailkan terhadap mereka kerana disyaki terlibat dalam pengeboman Bali pada 2022 dan serangan terhadap hotel JW Marriott di Jakarta pada tahun berikutnya.
Hambali dikatakan menjadi wakil kanan Al-Qaeda di rantau ini manakala Mohammed Nazir dan Mohammed Farik dilatih oleh kumpulan pengganas tersebut.
Pentagon memfailkan pertuduhan tersebut setelah hampir 18 tahun mereka diberkas di Thailand dan ditahan di dalam penjara tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba sejak 14 tahun lalu.
“Pertuduhan itu membabitkan konspirasi, pembunuhan, cubaan membunuh, dengan sengaja mendatang kecederaan, keganasan, menyerang orang awam, menyerang dan memusnahkan harta, serta melanggar undang-undang perang,” kata Pentagon dalam satu kenyataan.
Pengeboman di Bali pada 12 Oktober 2002 menyebabkan 202 mangsa terbunuh manakala serangan di Hotel JW Marriott Jakarta pada 5 Ogos 2003 meragut 12 nyawa dan puluhan mangsa cedera.