22 JAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri, berasa sebak dan sayu melihat keadaan petugas barisan hadapan dan pesakit yang berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) semalam.
Zulkifli berkata, beliau dapat melihat dengan jelas keletihan yang terpapar di raut wajah petugas barisan hadapan, namun mereka berasa sedikit ceria apabila melihat kehadirannya bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) berkunjung ke situ untuk menyampaikan sumbangan makanan.
Dalam lawatan berkenaan, beliau sempat bertanya khabar dan memberikan kata-kata semangat kepada petugas barisan hadapan dan pesakit COVID-19 yang ditempatkan di PKRC terbabit.
“Ujian paling besar kita adalah apabila kita ditimpa musibah seperti ini, perkara pertama sebagai seorang Islam, kita hendaklah sentiasa menginsafi diri dan meningkatkan kesabaran kepada Allah, kita menggunakan masa sebaik mungkin,” katanya dalam satu perkongsian menerusi laman Facebook miliknya.
Dalam lawatan berkenaan Zulkifli turut menyampaikan bantuan makanan berupa roti canai sejuk beku, biskut dan minuman kepada 1,629 petugas barisan hadapan serta buku ‘Hari-Hari Tarbiah Hidupku’ sebagai panduan kepada pesakit.
Zulkifli berkata, walaupun pertemuan itu singkat dan dipisahkan dinding kaca, namun beliau seronok dapat bertemu pesakit.
Beliau berkata, kalau boleh beliau mahu berada lebih lama bersama mereka, namun disebabkan kekangan masa beliau terpaksa melupakan hasrat itu.
“Saya faham perasaan mereka kerana saya juga pernah berada dalam situasi ini dan berharap pesakit COVID-19 tidak berasa disisih dan tertekan. Sentiasa letakkan sangka baik kepada Allah SWT dan berfikiran positif,” katanya
Menurut Zulkifli, beliau juga berkongsi pengalaman ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, selepas disahkan positif pada 4 Oktober tahun lalu, beliau memaklumkan tempoh rawatan 11 hari itu dibahagikan dan dimanfaat dengan sebaik mungkin.
“Sepanjang dirawat di hospital saya sempat menyiapkan sebuah buku mengenai pengalaman diserang COVID-19 bertajuk ‘Hari-Hari Tarbiah Dalam Hidupku’, menjaga solat dan khatam al-Quran sekali.
“Saya akan terus menyumbang bahan bacaan untuk pesakit di sini. Saya sayang semua dan terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun berada di mana-mana,” katanya yang mengakhiri pertemuan itu dengan bacaan doa dan diaminkan pesakit. – Oleh HAIKA KHAZI