23 JAN : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan media hari ini berkata, jumlah kes sembuh hari ini telah mengatasi kes harian baharu iaitu sebanyak 4,313 kes sembuh berbanding 4,275 kes harian baharu yang dikesan hari ini.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham, ini menjadikan bilangan keseluruhan jumlah kes sembuh meningkat sebanyak 137,019.
Manakala kata Noor Hisham, kes harian sebanyak 4,275 kes yang dikesan KKM hari ini menjadi kes tertinggi yang direkodkan sepanjang pandemik COVID-19 di negara ini, di mana jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 180,445 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 42,769 kes.
Jelasnya, daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 11 kes import melibatkan lapan warganegara dan tiga bukan warganegara, manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 4,264 kes.
“Daripada jumlah kes penularan dalam negara, 3131 kes adalah warganegara Malaysia manakala 1,133 kes adalah bukan warganegara.
“Selangor pula melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,421 kes (33.2 peratus). Ini diikuti oleh WP Kuala Lumpur sebanyak 548 kes (12.8 peratus), dan Sabah sebanyak 498 kes (11.6 peratus).
“Sebanyak 26 kes (0.6 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (46 kes), Kluster Tembok Mempaga (9 kes), Kluster Damai Pelangi (5 kes), Kluster Penjara Kepayan (5 kes) dan Kluster Tembok Sungai Udang (3 kes),” ujarnya menerusi kenyataan media harian COVID-19 hari ini.
Manakala jumlah bilangan kes sembuh hari ini pula kata Noor Hisham, ialah sebanyak 4,313 kes
“Kes yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi pula adalah sebanyak 260 kes dan 103 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing dua kes dari Selangor dan Johor serta masing-masing satu kes dari Melaka, Sarawak dan Wialayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Kesemua kes kematian pada hari ini melibatkan tujuh warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” ujarnya.