23 JAN : Menteri Kesihatan Sri Langka, Pavithra Wanniarachchi yang secara terbuka membuat kenyataan menggunakan ramuan sihir untuk mencegah jangkitan COVID-19, kini menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan positif jangkitan virus tersebut.
Beliau baru-baru ini secara terbuka memberitahu menggunakan ramuan sihir mengandung madu dan buah pala yang dihasilkan oleh seorang tukang sihir mendakwa ia berfungsi sebagai pencegah terhadap virus tersebut seumur hidup.
Seorang pegawai kementerian kesihatan memberitahu, ujian antigennya positif pada hari Jumaat dan beliau diminta menjalani kuaranti kendiri termasuk semua kontak rapat Menteri Kesihatan tersebut.
Beberapa anggota keluarga ahli politik yang berasal dari kampung Bandara, turut dijangkiti selepas mengambil ramuan sihir berkenaan.
Seorang menteri muda yang turut mengambil ramuan yang dipopularkan oleh Wanniarachchi juga telah didapati positif COVID-19.
Ribuan orang menentang sekatan perkumpulan orang ramai untuk berpusu-pusu ke sebuah desa di tengah Sri Lanka bulan lalu untuk mendapatkan penawar yang dihasilkan oleh seorang tukang kayu, Dhammika Bandara kerana percaya ramuan sihir itu boleh mencegah jangkitan virus tersebut.
Bandara juga menuangkan sebotol ‘air jampi’ ke sungai pada bulan November selepas seorang dewa memberitahunya bahawa ia akan mengakhiri wabak itu.
Media kerajaan yang sebelum ini memberikan publisiti meluas terhadap ‘lelaki suci’ itu, yang mendakwa formula itu dinyatakan kepadanya oleh Kali, dewi Hindu untuk kematian dan kehancuran, mula berusaha untuk menjauhkan diri dari Bandara apabila mendapati ramuan sihirnya itu terbukti tidak berkesan.
Negara pulau dengan penduduk seramai 21 juta itu Jumaat lalu meluluskan penggunaan kecemasan vaksin yang dihasilkan oleh AstraZeneca dan Universiti Oxford, hanya beberapa jam selepas Wanniarachchi diuji positif, kata pegawai.
Sri Lanka berada dalam keadaan bergelut dengan COVID-19, dengan jumlah kes dan kematian meningkat, masing-masing dari 3,300 dan 13 pada awal Oktober hingga hampir 57,000 jangkitan dan 278 kematian minggu ini.