23 JAN: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta Lembaga Zakat di seluruh negara lebih proaktif membantu umat Islam yang di dalam kesusahan terutama membabitkan kes mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Presiden BANTU, Mohamad Nizam Abdul Samar Zammi menggesa agensi kerajaan itu mengurangkan karenah birokrasi dalam menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
Beliau secara peribadi mencadangkan agar syarat-syarat untuk mendapatkan bantuan itu dilonggarkan dan perlu dilihat secara menyeluruh agar mereka yang bukan dari kalangan B40 juga dapat dibantu.
“Kita dapat lihat isu seorang ibu yang terpaksa mencuri untuk membeli barang keperluan anaknya yang sedang demam di Petaling Jaya baru-baru ini benar-benar mencuri perhatian rakyat.
“Mungkin ibu itu agak terdesak dan tidak tahu ke mana dia harus meminta pertolongan disebabkan sebelum ini dia tidak pernah minta tolong dari mana-mana pihak kerana keluarganya masih ada punca pendapatan.
“Kalau dalam keadaan biasa, orang yang duduk apartment atau kondominium pergi ke Lembaga Zakat minta bantuan adalah tidak logik, tapi dalam keadaan gawat akibat pandemik COVID-19 yang melanda hari ini, tidak mustahil ada diantara mereka yang mungkin turut terkesan akibat suami kehilangan pendapatan dan sebagainya.
“Jadi, berilah kelonggaran untuk sementara waktu bagi mereka yang memerlukan, dan kurangkanlah karenah birokrasi. Jika mereka ini sudah datang minta bantuan bermakna mereka ini betul-betul dalam kesusahan dan amat memerlukan bantuan daripada Pusat Zakat,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad Nizam menyeru agar pelbagai pihak khususnya orang ramai turut memainkan peranan penting dalam mengambil berat kejiranan mereka yang menghadapi kesusahan mengharungi kehidupan yang sukar di saat negara dilanda pandemik COVID-19.
“Masyarakat juga kena main peranan sama untuk melihat kawan-kawan atau jiran-jiran mereka yang sedang menghadapi kesusahan. Mana boleh bantu kita bantu kerana (COVID-19) ini isu negara dan bukan hanya melibatkan pihak-pihak tertentu.
“Selain itu, sokongan keluarga amat-amat diperlukan ketika ini. Adik-beradik perlu saling bantu antara satu sama lain dalam keadaan gawat akibat pandemik COVID-19 ini dan kita perlu ambil tahu jika ada saudara kita yang betul-betul memerlukan kehidupan untuk meneruskan kehidupan seharian mereka,”katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH