24 JAN: Semua pemimpin dan ahli UMNO mesti melupakan seketika polemik dan perbalahan politik dengan memberi lebih fokus kepada usaha kerajaan melandaikan lekuk penularan COVID-19 kepada tahap sifar.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pihaknya konsisten menyokong pendirian parti dan setiap keputusan yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO (MT).
Sehubungan itu, menurut beliau, selaras dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan rakyat terus dibantu, fokus utama Wanita UMNO kini adalah kepada membantu rakyat dan memperkukuhkan gerak kerja dalam mencapai objektif menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Dalam keadaan negara yang kini dilanda wabak COVID-19 dan juga banjir, sudah pasti keperluan rakyat perlu diutamakan. Sebagai tulang belakang parti, sudah pasti Wanita UMNO akan terus mengembleng tenaga memastikan kebajikan rakyat dijaga.
“Wanita UMNO juga menyeru kepada semua ahli parti untuk terus merapatkan saf, memperkukuhkan parti agar rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa inilah parti yang benar-benar mampu membawa denyut nadi rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Dalam pada itu, marilah kita terus mempertingkatkan pematuhan SOP, menjaga kawalan kendiri agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan dan angka pesakit positif kembali kepada sifar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendakwa seramai 114 hingga 115 Ahli Parlimen bersetuju agar sidang Parlimen diadakan segera dengan tumpuan menyelesaikan masalah COVID-19 dan ekonomi.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, jumlah itu dianggap sudah mencapai cukup majoriti untuk menolak usul kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksana darurat dan menggantung Parlimen daripada bersidang. – Oleh HAIKA KHAZI