24 JAN: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bersedia untuk menjadi salah satu agensi berperanan bagi membantu usaha dakwah ke arah menyelamatkan mereka yang terjebak dalam kancah lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) serta meluruskan pemikiran masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan agenda normalisasi aktiviti mungkar terbabit.
Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata YADIM melihat usaha kerajaan untuk meminda undang-undang syariah dan menubuhkan Task Force (Jawatankuasa Bertindak) bagi menangani isu LGBT sebagai satu usaha dakwah yang sangat wajar disokong dan didukung oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Tentu sahaja dakwah tidak sekadar menyeru atau mengajak ke arah mentaati perintah Allah swt. serta mematuhi syariat Nabi Muhammad saw. secara lisan semata-mata.
“Bahkan perlaksanaan undang-undang yang menepati syariat serta pembentukan Jawatankuasa Bertindak bagi mendidik dan membimbing masyarakat agar menjalani kehidupan patuh syariat serta mencegah aktiviti LGBT di kalangan umat Islam sebagaimana yang dipertegaskan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marzuk Shaary adalah satu usaha dakwah besar negara.
“Dakwah ini adalah untuk membina sebuah masyarakat yang soleh dan bermoral sekaligus membentuk sebuah negara yang sejahtera dari keruntuhan akhlak dan peradaban. Kemudiannya, mengundang rahmat dan keampunan Allah SWT menepati piawaian Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Nasrudin yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata, penularan budaya yang menyongsang fitrah dan normalisasi aktiviti LGBT di Malaysia mutaakhir ini kian membarah dan wajar ditangani dengan serius dan penuh hikmah.
Beliau berkata fenomena berkenaan turut mencemar budaya, meruntuh institusi kekeluargaan dan merosakkan nilai keperibadian individu, khasnya bagi mereka yang beragama Islam.
“Pelaksanaan “hidup mematuhi aturan agama” tidak boleh berpada hanya dengan seruan khatib di mimbar, alim ulamak di majlis ilmu dan para intelektual Islam di bilik kuliah universiti semata-mata. Malah perlu kepada penguatkuasaan undang-undang untuk membendung agenda pihak tertentu yang mahu meruntuhkan peradaban negara.
“Justeru, YADIM tidak sekadar menyokong hasrat murni kerajaan tersebut, tetapi bersedia untuk menjadi satu agensi yang berperanan bagi membantu usaha dakwah ke arah menyelamatkan mereka yang terjebak dalam kancah LGBT dan meluruskan pemikiran masyarakat agar tidak terpengaruh dengan agenda normalisasi aktiviti mungkar tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, YADIM juga telah mengadakan wacana bersama MACSA yang dipengerusikan oleh Lukman Sherif dan Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar untuk mencari langkah terbaik menangani isu ini termasuklah menerima maklum balas dari para intelek pelbagai agama seperti Kristian, Buddha dan Hindu. – Oleh HAIKA KHAZI