25 JAN: Sebuah kilang pengeluar sarung tangan di Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor diserbu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan bermula 18 Januari lalu sehingga hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim memberitahu, kilang tersebut merupakan salah satu daripada 105 tempat kerja yang telah diperiksa sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut beliau, secara keseluruhan, sebanyak 16 notis penambahbaikan dan 50 surat arahan kepada majikan dikeluarkan kerana tidak mematuhi kehendak perundangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).
“Hasil operasi mendapati majikan mempunyai tahap pematuhan terhadap perundangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) yang tinggi (87 peratus) kecuali enam buah syarikat yang tahap pematuhannya berada pada tahap yang kurang memuaskan.
“Dalam aspek pencegahan penularan COVID-19 pula, secara purata 90 peratus kehendak SOP Pencegahan COVID-19 di tempat kerja dipatuhi oleh majikan terbabit,”
“Majikan yang gagal mematuhi notis yang telah dikeluarkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang memperuntukan penalti maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Untuk rekod, pada tahun 2020 JKKP telah mengambil 232 tindakan pendakwaan dan 583 kompaun dikeluarkan bagi kes pelanggaran perundangan KKP yang melibatkan penalti berjumlah RM 4.9 juta.
Dalam pada itu, Awang yang juga merupakan Ahli Parlimen Pendang memberitahu, operasi dijalankan dalam usaha mencegah penularan COVID-19 di tempat kerja dan memberi fokus kepada industri yang mempunyai bilangan pekerja yang ramai dan mempunyai risiko yang lebih tinggi secara relatif berbanding dengan industri lain.
Menurut beliau, operasi ini juga dijalankan bagi memastikan pemain industri, khususnya pengeluar sarung tangan mematuhi perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan seterusnya menjamin kesinambungan produktiviti industri tersebut.
“Sebagai penyelesaian jangka panjang, pemain industri di negara ini perlu meningkatkan kerjasama menerusi platform persatuan industri, untuk terus memantapkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
“Ini termasuk dalam aspek pencegahan COVID-19. Pekerja dan kesatuan sekerja juga perlu memberi kerjasama sepenuhnya kepada majikan ke arah mencapai hasrat ini,”katanya.
Tambah beliau, ia juga selaras dengan semangat tripartite yang menekankan perlunya kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan pekerja.
“Ini perlu dilakukan bagi mencapai matlamat mewujudkan persekitaran kerja yang selamat, sihat, harmoni, kondusif dan produktif demi kepentingan pekerja, majikan serta negara,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH