25 JAN : Sebanyak RM5 juta wang zakat diagihkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membantu mangsa banjir di empat negeri iaitu Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sebanyak RM1.25 juta akan diterima oleh setiap negeri terbabit.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM250,000 akan digunakan untuk membiayai kelengkapan masjid dan surau yang terjejas akibat banjir yang disalurkan kepada Majlis Agama Islam Negeri-Negeri terbabit.
“Baki RM1 juta pula akan digunakan untuk barangan keperluan mangsa banjir seperti toto, dapur memasak, lampin pakai buang kanak-kanak, periuk nasi, telekung dan sebagainya,”jelasnya menerusi kenyataan tersebut.
Katanya lagi,bantuan ini akan disampaikan oleh pihak yang dilantik MAIWP kepada pihak Majlis Agama Islam Negeri-Negeri berkenaan pada tarikh dan lokasi yang akan ditentukan,” jelasnya menerusi kenyataan tersebut.
“MAIWP memberikan penghargaan kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan kerana dengan pembayaran zakat tersebut MAIWP berjaya melaksanakan amanah membantu mereka yang memerlukan.
“Anda adalah hero asnaf sebenar. Saya akan pastikan bantuan ini diagihkan seadilnya agar ia dapat meringankan beban mangsa banjir di empat negeri ini,”ujarnya.