25 JAN : Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat Jawatankuasa Pemerkasaan Komuniti bagi mengekang ancaman COVID-19 hari ini bersetuju untuk memperkenalkan Program Agent Basmi COVID-19 (ABC-19) di seluruh negara.
Menurut NADMA, program ini akan melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti dengan menggunakan modul latihan yang sedang dibangunkan dan dilaksanakan secara seragam di seluruh negara.
“Program itu akan digerakkan menerusi kepimpinan komuniti dan sukarelawan menggunakan ‘whole-of-society approach’.
“Terdapat lebih enam juta ahli komuniti berpotensi untuk digerak, diperkasa dan dipertanggungjawabkan untuk membantu membasmi COVID-19 dalam komuniti,” jelas kenyataan itu.
NADMA berkata, s]mesyuarat jawatankuasa yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pagi tadi, turut dihadiri ketua-ketua setiausaha pelbagai kementerian berkaitan dan setiausaha kerajaan negeri.
“Mesyuarat berkenaan turut bersetuju agar semua kementerian dan agensi menggunakan segala medium untuk menggerakkan komuniti agar mereka dapat mengambil tanggungjawab menjaga komuniti masing-masing tanpa memerlukan penguatkuasaan ketat kerajaan.
“Komitmen daripada semua pihak amatlah kritikal dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 melalui kaedah pemerkasaan komuniti ini,”ujarnya.