25 JAN : Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijadualkan berakhir pada 4 Februari ini tidak akan dilanjutkan, sebaliknya akan disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menurut beliau, keputusan tersebut diambil bagi mengelakkan kesan negatif terhadap ekonomi negara ekoran pelaksanaan PKP.
“Justeru, PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini akan disambung dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“PKP pada asalnya dijadual untuk dilaksanakan dalam tempoh dua minggu (sejak 13 Januari lalu) dan kesan pendekatan ini memerlukan masa dan kita lanjutkan sehingga Februari.
“Bagaimanapun, kita tak nak panjangkan PKP kerana beri kesan terhadap ekonomi. Kita kena seimbangkan kepentingan ekonomi dan kesihatan,” jelasnya dalam sesi taklimat bersama media yang diadakan secara dalam talian hari ini.
Jelasnya, kerajaan akan melaksanakan PKP selama empat minggu, sampai awal Februar dan ia kemudiannya akan disusuli PKPB bagi tempoh tiga bulan akan datang.
“Menerusi pendekatan ini, dijangka pada Mei, kita akan dapat turunkan kes (kadar jangkitan harian) kembali ke dua angka,” ujarnya.