26 JAN : Akibat cuba menyogok seorang anggota polis, seorang lelaki warga Bangladesh dijatuhi hukuman dua tahun penjaran dan denda sebanyak Rm12,000 oleh Mahkamah Seksyen hari ini selepas mengaku bersalah merasuah seorang anggota polis pada 20 Jan lepas.
Hakim Murtazadi Amaran menjatuhkan hukuman tersebut terhadap warganegara Bangladesh itu, Mohammad Mosarof, yang didakwa menawarkan suapan RM500 kepada Koperal Muhammad Syazwan Ahmad Safiudin sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.
Mohammad dituduh di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Mengikut fakta kes, Mosarof didakwa berbuat demikian kerana telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 5 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021, serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, di Plaza Tol Lunas (BKE) Kilometer 18.8 Lebuhraya Butterworth-Kulim, kira-kira 3.30 petang, 20 Jan lepas.
Semasa kejadian, Mohammad bersama seorang lagi individu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Lunas, Kulim dengan menaiki sebuah teksi.
Dia ditahan dalam sekatan jalan raya dan gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada pihak polis, sebaliknya menawarkan rasuah agar tidak ditahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan SPRM Mohamad Fauzee Azizan manakala Mohammad tidak diwakili peguam.