26 JAN: DAP menegaskan pendirian tidak akan memberi peluang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi Perdana Menteri bagi kali ketiga.
Naib Pengerusi DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata, masalah antara Ahli Parlimen Langkawi itu dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi punca perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).
“Adakah kita benar-benar masih mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir? Saya fikir selagi beliau seiring dengan perjuangan dan ideologi kita, maka beliau sebahagian daripada pembangkang.
“Tetapi untuk jadi Perdana Menteri lagi, maaflah, pilihan kami hanya Anwar,” katanya hari ini.
Perebutan jawatan Perdana Menteri yang didalangi Anwar menyebabkan kerajaan PH hanya dapat bertahan selama 22 bulan.
Sejak itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson beberapa kali mendakwa beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan namun sehingga kini, gagal untuk memberi bukti konkrit tentang jumlah Ahli Parlimen yang berada di belakangnya.
Anwar juga semakin terdesak sehingga sanggup menulis surat kepada Ahli-ahli Parlimen untuk menyokong gerakan mencabar Proklamasi Darurat yang diperkenakan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Suee Lim yang juga ADUN Sekinchan menambah, Dr Mahathir seharusnya berhenti bermimpi untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekali lagi.
Beliau turut menyalahkan tindakan Dr Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri sehingga menyebabkan kerajaan PH tumbang.
“Jadi kenapa Dr Mahathir letak jawatan pada masa itu? Saya rasa beliau perlu minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana tindakannya yang terburu-buru itu,” jelasnya.